AKTIVITI PENERAPAN KONSEP DBAE
(Dicipline Based of Art Education)
NAMA PROGRAM : LAWATAN PAMERAN TEKSTIL
TARIKH : 22 MAC 2012TEMPAT : MUZIUM KOTA TINGGI, JOHOR
MASA : 3.00 – 6.00 PETANG
NAMA GURU : PN. NURAMANI BINTI ZAINUDDIN
Bergambar kenangan di hadapan pintu masuk utama Muzium Kota Tinggi |
Guru bersama-sama pelajar SPM yang turut serta dalam aktiviti ini |
Meninjau ruang pameran Tekstil sambil bawa nota edaran dari guru |
Bergambar kenangan dengan mesin jahit jenis tangan dahulukala |
Sebahagian bahan tekstil yang dipamer pada ruang pameran dalam Muzium Kota Tinggi |
Alatan memintal benang dari zaman dahulukala |
Meneliti nota edaran mengenai tajuk tenunan |
Bergambar sebelum beredar dari Muzium Kota Tinggi |
Di Kelantan kegiatan menenun ini dipelopori oleh Cik Siti Wan Kembang yang memerintah Kelantan sekitar tahun 1610 hingga 1677. Kampung Gerung yang terletak dalam jajahan Tumpat antara daerah yang terawal menjalankan kegiatan menenun. Kemudian kegiatan ini berkembang ke Kampung Penambang yang terletak berhampiran dengan pusat bandar.
Di Terengganu tenunan songket dipercayai bermula sejak pemerintahan Sultan Marhum Janggut atau Sultan Mansur (1726-1793). Kawasan yang banyak menjalankan kegiatan ini terletak di sekitar Kampung Banggol, Kuala Ibai dan Chendering.
Songket berasal dari perkataan ‘sungkit’ iaitu ‘teknik menyungkit’ benang loseng (warp) dengan menggunakan bilah buluh atau nibung bagi tujuan menghasilkan reka corak atau sulaman pada kain tenunan . Kemudian benang emas atau perak disulam atau disungkit mengikut reka corak yang telah ditentukan mengikut bilah buluh atau nibung tadi.
7 TEKNIK PEMBUATAN SONGKET
1. Mencelup benang
Benang perlu dibersihkan sebelum dicelup ke dalam pewarna. Benang kemudiannya dikeringkan.
2. Menerai benang
Pelenting yang diperbuat daripada buluh kecil digunakan untuk melilit benang. Proses ini dilakukan dengan bantuan alat darwin dan alat pemutar rahat.
3. Menganeng benang
Proses membuat benang loseng yang diregang di alat penenun bagi menentukan saiz panjang atau jumlah helai kain yang akan ditenun.
4. Menggulung benang
Benang yang diregang di alat menganeng (ianian) digulung dengan sekeping papan loseng.
5. Menyapuk/mengait benang
Kerja menyapuk dilakukan sesudah benang loseng dimasukkan ke dalam gigi atau sikat jentera. Dua urat benang loseng dikaitkan melalui setiap celah gigi jentera.
6. Mengarak benang
Karak dibuat daripada benang asing yang digelung. Benang loseng berangka genap dan ganjil akan diangkat turun naik secara berselang seli ketika menenun.
7. Menyongket benang (selepas graf lukisan motif dilakar)
Proses mereka corak di atas benang loseng dilakukan menggunakan alat yang dipanggil lidi dengan menyongketkan benang loseng sebanyak tiga atau lima lembar sebelum diikat melalui proses ikat butang.
8. Menenun (menggunakan alat tenunan dikenali sebagai kek songket)
Alat torak yang diisi dengan benang pakan atau benang emas, dimasukkan ke kiri dan kanan di celah benang loseng mengikut corak yang ditentukan hingga menjadi sekeping kain. Kain yang sudah siap ini dipotong mengikut saiz.
(Sumber: Fatimah Besar, pengasas Fatimah Songket)
SONGKET adalah hasil tenunan tangan tradisional orang Melayu yang amat berharga. Ia ditenun dengan alat yang menggunakan kaki sebagai pengayuh. Tenunan songket biasanya dikuasai oleh kaum wanita terutama di Pantai Timur Semenanjung dan Sarawak.
Kain yang berasal daripada istana ini lazimnya ditenun dengan benang sutera tetapi sekarang terdapat kain songket buatan benang kapas dan juga gabungan kedua-duanya.
Pada zaman sains dan teknologi ini penenun gemar menggunakan benang tiruan seperti polister kerana murah dan mudah diperoleh.
Songket dalam erti kata lain bermaksud benang pakan tambahan yang disulam tenun ke dalam kain tenunan biasa bagi menimbulkan pelbagai corak dan motif. Benang tambahan ini terdiri daripada benang emas atau perak, benang berwarna atau benang metalik yang bercahaya beraneka warna.
Menurut Koordinator Batik International Research Design Access (Birda), International Institute of Design Excellence, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Norwani Md. Nawawi, corak dan motif pada kain songket memaparkan ciri-ciri unik identiti orang Melayu.
Motif-motif tradisional kebanyakannya masih kekal ke hari ini. Namun, perubahan sentiasa berlaku selari dengan penggunaan kain songket yang meluas mengikut kesesuaian masa kini,katanya.
Beliau menambah, kecantikan songket terletak pada reka corak yang halus dan rumit serta motif yang dihasilkan di atas kain tenunan tangan. Terdapat lebih daripada 100 motif tradisional yang ditenun di atas kain songket sarung dan kain lepas atau kain selendang.
Penenun-penenun tradisional biasanya tinggal di kampung-kampung yang dikelilingi oleh bermacam-macam jenis pokok buah-buahan atau berdekatan dengan laut dan sering mengalami musim tengkujuh.
Mereka sangat kreatif dan mempunyai pemerhatian yang tajam dan daya imaginasi yang kuat. Hasilnya kebanyakan motif songket adalah nama-nama daripada pokok, bunga, burung dan ada juga daripada kuih-kuih Melayu yang menjadi kesukaan raja-raja seperti seri kaya, wajik dan tepung talam, ujar beliau lagi.
Dr. Norwani berkata, sejarah songket pada zaman dulu mengaitkan songket dengan pakaian raja. Kelangsungan itu, kain songket dijadikan pakaian raja sehari atau pakaian pengantin rakyat.
Kini penggunaan kain songket diperluaskan seperti penerapan pada bahagian tertentu pakaian moden seperti yang dipakai artis atau pramugara. Begitu juga dengan produk kraf tangan.
Biodata Dr. Norwani Md. Nawawi
* Lebih mesra dengan panggilan Noni dilahirkan di Johor Bahru, Johor, pada 8 Oktober 1957. Beliau menuntut di Institut Teknologi Mara dari tahun 1976 hingga 1980 dalam jurusan Seni Reka Tekstil.
* Beliau telah menunjukkan potensi yang cemerlang sehingga mendapat anugerah pelajar terbaik dari Jabatan Seni Reka Tekstil dan pelajar terbaik keseluruhan Kajian Seni Lukis dan Seni Reka pada tahun 1980.
* Selepas menerima ijazah, Dr. Norwani menyertai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) khusus sebagai pereka tekstil. Bidang ini telah mendedahkan beliau ke satu arena baru dalam mereka bentuk tekstil dan telah menggalakkannya untuk membuat banyak percubaan. Bakat unggul Dr. Norwani terserlah dalam mencipta rekaan-rekaan eksklusif dan terbaru.
* Dr. Norwani menghasilkan rekaan-rekaan yang baik dalam songket, batik dan tekatan. Sentuhan beliau jelas kelihatan dalam rekaan-rekaannya yang menggabungkan keringkasan dan ketampanan. Pengalamannya dengan PKKM begitu luas. Bersama dengan kumpulannya mereka telah berjaya memperkenalkan reka bentuk moden dalam pembuatan songket yang menggunakan benang emas dan benang sutera.
* Penenun songket kini telah mula menggunakan warna lembut, motif geometri dan songket ela. Ini adalah satu dimensi baru dalam pertumbuhan industri songket.
* Pada awal tahun 1996, Dr. Norwani telah menyertai UiTM sebagai pensyarah Jabatan Seni Tekstil.