PERMULAAN 2013

PERMULAAN 2013
Suasana bilik Seni SAKTI 2013
"There are no shortcuts to success and failure is sometimes part and parcel of such an undertaking"


Saturday, January 1, 2011

AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA

Al-Quran (Kalam Allah) yang menjadi panduan hidup dan kehidupan di dunia dan juga penghidupan di akhirat, telah menunjukkan bagaimana hidup itu seharusnya dijalani serta bagaimana pula kehidupan itu harus diisi dengan segala perisian yang sewajarnya. Allah SWT yang telah menciptakan manusia dalam bentuk seelok-elok kejadian, menjadikannya lebih sempurna berbanding makhluk-makhlukNya yang lain, sememangnya tahu benar (Maha Mengetahui) akan apa-apa saja yang diperlukan dan juga keperluan manusia itu sendiri.

Allah SWT yang menjadikan manusia itu lebih mulia dari segala makhluk yang lain kerana akalnya yang mampu berfikir untuk membezakan yang mana baik dan yang mana pula yang terlebih baik untuk dilaksanakan demikian pula sebaliknya. Oleh kerana manusia juga dihiasi dengan keinginan nafsu, maka Allah SWT juga telah mengurniakan hati untuk mengimbangi, mengadili dan sekaligus memerintah serta mentadbir sebuah kerajaan yang dipanggil jasad atau tubuh badan manusia.

Oleh kerana pengetahuan Allah SWT itu maha luas, hebat dan tiada taranya (Maha Mengetahui), maka Allah SWT tahu bagaimana nafsu manusia itu memang teramat cenderung melihat sesuatu itu dari sudut kepuasan, keseronokan, bahkan keegoannya menjadikan manusia itu sering tumpas dan tewas oleh runtunannya. Kemudian keistimewaan akal yang ada pada manusia itu pula, seringkali dapat mengemukakan cadangan-cadangan yang bernas dengan mengambil kira segala sudut dan aspek supaya ia diiktiraf layak untuk dipraktikkan. Hati pula yang menjadi raja di dalam diri manusia akan membuat keputusan muktamad untuk dipraktikkan sebagai tindakan oleh seluruh anggota tubuh badan yang lain.

Namun begitu kesihatan nafsu dan akal adalah tersangat perlu lagi amat penting diambil kira dalam memilih jalan yang menjanjikan kebahagian kepada tubuh badan manusia itu sendiri. Kesihatan akal dan nafsu itu pula tertakluk kepada sejauh mana hati itu sihat, untuk menjalankan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin. Untuk menjamin kesihatan hati seterusnya akal dan nafsu agar tetap berada dalam keadaan benar-benar sihat, maka manusia perlu kepada perisian rohani yang berterusan sebagai ubat mujarrab dalam menjamin kemantapan jiwa, demi menikmati erti sebuah kebahagiaan. Kemurahan serta rahmat dan rahim Allah SWT telah menyediakan sumber perisian yang secukupnya dari panduan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai bahan rujukan utama dalam menempuh hidup dan kehidupan yang bahagia di dunia dan penghidupan yang penuh nikmat dan kekal abadi di akhirat nanti.

Hanya dengan tahap kesihatan yang cukup dari segi fizikal dan mental serta kesihatan yang memuaskan dari segi spiritual sahaja manusia itu akan dapat menikmati erti kebahagiaan. Maknanya jika tahap kesihatan manusia tidak memuaskan di mana-mana bahagian penting ini, maka ini akan menyebabkan manusia itu tidak akan dapat melihat erti dan makna kebahagian itu dengan setepat-tepatnya. Oleh itu untuk membolehkan manusia itu menilai erti kebahagian yang hakiki, maka mahu tidak mahu manusia itu mestilah memantapkan diri mereka dengan nilai dan amalan keislaman, keimanan dan ketakwaan yang secukup-cukupnya.


DEFINISI BAHAGIA
Takrif dan definisi bahagia itu akan dilihat dan dinilai dengan cara yang berbeza-beza, sesuai dengan tahap kesihatan manusia itu sendiri dari segi fizikal, mental dan spiritual. Manusia yang
kurang sihat di mana-mana sudut, akan menilai kebahagian itu berdasarkan kekurangan yang dialaminya, lalu ini akan menyebabkan takrif yang didatangkannya bukan definisi kebahagian
yang hakiki. Hanya manusia yang mempunyai kesihatan yang maksima pada ketiga-tiga sudut yang disebutkan itu sahaja yang mampu mendefinisikan makna kebahagian dengan definisi yang hakiki.

Sebenarnya istilah "bahagia" itu adalah suatu perkara yang unik dan terlalu seni untuk didefinisikan secara tepat, apatah lagi jika ia ditakrifkan oleh bermacam orang yang sudah tentu bermacam-macam pula ragamnya. Hanya dengan menggunakan kaca mata Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sahaja definisi bahagia itu dapat dirungkaikan dalam bentuk amalan, sekalipun ianya tidak berjaya diungkaikan oleh lidah yang tidak bertulang berupa sesuatu lafaz atau ucapan kata-kata. Bahkan kalau dikira, definisi yang dirungkaikan dalam bentuk praktik itulah yang lebih tepat dari definisi yang berjaya diungkaikan dan diungkapkan melalui kata-kata atau ucapan.

Sebagai contoh: Orang miskin akan mentakrifkan kebahagiaan itu berdasarkan kekurungan yang ada pada dirinya yang ia terlalu ingin untuk milikinya dari segi harta benda dan kemewahan,sedangkan orang kaya yang sudahpun bermewah-mewah dalam kehidupan, kadang-kadang melihat bahawa kehidupan simiskin lebih bahagia berbanding dirinya.

Jadi, apakah yang mereka ingin nyatakan tentang takrif kebahagiaan itu sebenarnya? Ini bermakna rasa bersyukur dengan kemewahan dan reda dengan kemiskinan sahaja, masih belum cukup untuk mentafsirkan makna kebahagiaan. Pendek kata kebahagiaan itu bukanlah apa yang dinilai oleh nafsu yang suka kepada kehidupan serba mewah, bukan juga oleh jasmani kita yang kadang-kala tertipu oleh kebuasan nafsu lalu hidup merana dan menderita, bahkan bukan juga terletak kepada kepintaran akal yang memikirkan akan betapa patutnya menggapai cabang-cabang kebahagiaan yang dianggapnya sebagai tempat yang paling patut untuk berpaut. Sekaligus bukan pula takrif yang didendangkan oleh hati yang kadang-kadang berlaku seperti pepatah Melayu : "Ikut hati mati, ikut rasa binasa".

AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA
Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :
Maksudnya: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (Surah Al-Ahzaab : Ayat 21).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.


Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan ‘maqam’ atau martabat masing-masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila Ummul-Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran".

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN
Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana "Keluarga Bahagia" yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.


Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendambakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita, tanpa mempertikaikannya sedikitpun. Bilamana kita merasa kehidupan contoh (mithali) yang di tunjukkan oleh Baginda tidak dapat kita terima, atau gagal kita ikuti, itu bukan bermakna kita perlu mencari alternatif lain dalam mencari kebahagiaan hidup. Tapi apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan "Kalamullah" dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.
dipetik dari blog:
http://alumnigayonguia.tripod.com

No comments: