PERMULAAN 2013

PERMULAAN 2013
Suasana bilik Seni SAKTI 2013
"There are no shortcuts to success and failure is sometimes part and parcel of such an undertaking"


Wednesday, January 19, 2011

2011 TAHUN KREATIVITI DAN INOVASI




Tahun Kreativiti dan Inovasi telah disebut oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib b. Razak dalam ucapannya di Laman Web 1 Malaysia. Antara petikan ucapan tersebut, menyatakan
" Sungguh pantas kita kini telah pun menghampiri akhir dekad ini dan permulaan satu dekad yang baharu. Sejak 2000 lagi, kita telah melihat kemunculan produk yang amat inovatif seperti iPhone, Blackberry, Twitter, Facebook, dan You Tube. Kita juga telah menyaksikan kebangkitan Google yang tiada noktahnya, menukar cara kita menggunakan media dan berkomunikasi antara satu dengan lain. Dekad yang datang ini ternyata tidak kurang menariknya. Negara-negara yang menyenangi inovasi, seperti Jepun, Finland dan Amerika Syarikat, hasilnya berjaya membangunkan ekonomi yang lebih maju. Inovasi mewujudkan pekerjaan dan menggalakkan daya saing negara, Oleh sebab itulah, kita juga mesti menghasilkan impak yang kreatif dalam ekonomi global yang berdaya saing. Janganlah kita membiarkan diri kita ketinggalan di belakang. "

Laporan Bank Dunia pada tahun 1999 menyatakan industri kreatif mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu sebanyak US30 2000 billion iaitu mewakili 7.3 peratus daripada ekonomi dunia. Terdapat 15 sektor yang tergolong dalam industri kreatif iaitu (Howkins, 2002);
i. Periklanan (advertising)
ii. Senibina (architecture)
iii. Seni (art)
iv. Kraf
v. Reka bentuk (design)
vi. Fesyen
vii. Filem
viii. Muzik
ix. Seni Persembahan (perfoming Arts)
x. Penerbitan (Publishing)
xi. Penyelidikan dan Pembangunan (R & D)
xii. Perisian (software)
xiii. Pepatung dan Permaianan
xiv. Televisyen dan radio
xv. Permainan Video (Video games)

Petikan daripada kertas kerja bertajuk " KREATIVITI, INVENSYEN DAN INOVASI: SUATU CADANGAN MATAPELAJARAN PADA PERINGKAT SEKOLAH MENENGAH" oleh tenaga kerja di Universiti Teknologi Malaysia, di http://www.scribd.com/doc/9530697/Jurnal-Kreativiti-Invensyen-Inovasi

Dalam sukatan Seni Visual STPM, ada satu bab yang membincangkan PERANAN SENI VISUAL DARI ASPEK PSIKOLOGI DAN SOSIOLOGI. Salah satu peranan Seni Visual dari aspek psikologi ialah memperkembangkan kreativiti kanak-kanak dan seterusnya individu pekerja/pemikir di negara ini.


Dipetik dari http://cikgusenismkbk.blogspot.com.my

Saturday, January 1, 2011

AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA

Al-Quran (Kalam Allah) yang menjadi panduan hidup dan kehidupan di dunia dan juga penghidupan di akhirat, telah menunjukkan bagaimana hidup itu seharusnya dijalani serta bagaimana pula kehidupan itu harus diisi dengan segala perisian yang sewajarnya. Allah SWT yang telah menciptakan manusia dalam bentuk seelok-elok kejadian, menjadikannya lebih sempurna berbanding makhluk-makhlukNya yang lain, sememangnya tahu benar (Maha Mengetahui) akan apa-apa saja yang diperlukan dan juga keperluan manusia itu sendiri.

Allah SWT yang menjadikan manusia itu lebih mulia dari segala makhluk yang lain kerana akalnya yang mampu berfikir untuk membezakan yang mana baik dan yang mana pula yang terlebih baik untuk dilaksanakan demikian pula sebaliknya. Oleh kerana manusia juga dihiasi dengan keinginan nafsu, maka Allah SWT juga telah mengurniakan hati untuk mengimbangi, mengadili dan sekaligus memerintah serta mentadbir sebuah kerajaan yang dipanggil jasad atau tubuh badan manusia.

Oleh kerana pengetahuan Allah SWT itu maha luas, hebat dan tiada taranya (Maha Mengetahui), maka Allah SWT tahu bagaimana nafsu manusia itu memang teramat cenderung melihat sesuatu itu dari sudut kepuasan, keseronokan, bahkan keegoannya menjadikan manusia itu sering tumpas dan tewas oleh runtunannya. Kemudian keistimewaan akal yang ada pada manusia itu pula, seringkali dapat mengemukakan cadangan-cadangan yang bernas dengan mengambil kira segala sudut dan aspek supaya ia diiktiraf layak untuk dipraktikkan. Hati pula yang menjadi raja di dalam diri manusia akan membuat keputusan muktamad untuk dipraktikkan sebagai tindakan oleh seluruh anggota tubuh badan yang lain.

Namun begitu kesihatan nafsu dan akal adalah tersangat perlu lagi amat penting diambil kira dalam memilih jalan yang menjanjikan kebahagian kepada tubuh badan manusia itu sendiri. Kesihatan akal dan nafsu itu pula tertakluk kepada sejauh mana hati itu sihat, untuk menjalankan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin. Untuk menjamin kesihatan hati seterusnya akal dan nafsu agar tetap berada dalam keadaan benar-benar sihat, maka manusia perlu kepada perisian rohani yang berterusan sebagai ubat mujarrab dalam menjamin kemantapan jiwa, demi menikmati erti sebuah kebahagiaan. Kemurahan serta rahmat dan rahim Allah SWT telah menyediakan sumber perisian yang secukupnya dari panduan Al-Quran dan Al-Hadis sebagai bahan rujukan utama dalam menempuh hidup dan kehidupan yang bahagia di dunia dan penghidupan yang penuh nikmat dan kekal abadi di akhirat nanti.

Hanya dengan tahap kesihatan yang cukup dari segi fizikal dan mental serta kesihatan yang memuaskan dari segi spiritual sahaja manusia itu akan dapat menikmati erti kebahagiaan. Maknanya jika tahap kesihatan manusia tidak memuaskan di mana-mana bahagian penting ini, maka ini akan menyebabkan manusia itu tidak akan dapat melihat erti dan makna kebahagian itu dengan setepat-tepatnya. Oleh itu untuk membolehkan manusia itu menilai erti kebahagian yang hakiki, maka mahu tidak mahu manusia itu mestilah memantapkan diri mereka dengan nilai dan amalan keislaman, keimanan dan ketakwaan yang secukup-cukupnya.


DEFINISI BAHAGIA
Takrif dan definisi bahagia itu akan dilihat dan dinilai dengan cara yang berbeza-beza, sesuai dengan tahap kesihatan manusia itu sendiri dari segi fizikal, mental dan spiritual. Manusia yang
kurang sihat di mana-mana sudut, akan menilai kebahagian itu berdasarkan kekurangan yang dialaminya, lalu ini akan menyebabkan takrif yang didatangkannya bukan definisi kebahagian
yang hakiki. Hanya manusia yang mempunyai kesihatan yang maksima pada ketiga-tiga sudut yang disebutkan itu sahaja yang mampu mendefinisikan makna kebahagian dengan definisi yang hakiki.

Sebenarnya istilah "bahagia" itu adalah suatu perkara yang unik dan terlalu seni untuk didefinisikan secara tepat, apatah lagi jika ia ditakrifkan oleh bermacam orang yang sudah tentu bermacam-macam pula ragamnya. Hanya dengan menggunakan kaca mata Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah sahaja definisi bahagia itu dapat dirungkaikan dalam bentuk amalan, sekalipun ianya tidak berjaya diungkaikan oleh lidah yang tidak bertulang berupa sesuatu lafaz atau ucapan kata-kata. Bahkan kalau dikira, definisi yang dirungkaikan dalam bentuk praktik itulah yang lebih tepat dari definisi yang berjaya diungkaikan dan diungkapkan melalui kata-kata atau ucapan.

Sebagai contoh: Orang miskin akan mentakrifkan kebahagiaan itu berdasarkan kekurungan yang ada pada dirinya yang ia terlalu ingin untuk milikinya dari segi harta benda dan kemewahan,sedangkan orang kaya yang sudahpun bermewah-mewah dalam kehidupan, kadang-kadang melihat bahawa kehidupan simiskin lebih bahagia berbanding dirinya.

Jadi, apakah yang mereka ingin nyatakan tentang takrif kebahagiaan itu sebenarnya? Ini bermakna rasa bersyukur dengan kemewahan dan reda dengan kemiskinan sahaja, masih belum cukup untuk mentafsirkan makna kebahagiaan. Pendek kata kebahagiaan itu bukanlah apa yang dinilai oleh nafsu yang suka kepada kehidupan serba mewah, bukan juga oleh jasmani kita yang kadang-kala tertipu oleh kebuasan nafsu lalu hidup merana dan menderita, bahkan bukan juga terletak kepada kepintaran akal yang memikirkan akan betapa patutnya menggapai cabang-cabang kebahagiaan yang dianggapnya sebagai tempat yang paling patut untuk berpaut. Sekaligus bukan pula takrif yang didendangkan oleh hati yang kadang-kadang berlaku seperti pepatah Melayu : "Ikut hati mati, ikut rasa binasa".

AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA
Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :
Maksudnya: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (Surah Al-Ahzaab : Ayat 21).

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.


Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan ‘maqam’ atau martabat masing-masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila Ummul-Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran".

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN
Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana "Keluarga Bahagia" yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.


Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendambakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita, tanpa mempertikaikannya sedikitpun. Bilamana kita merasa kehidupan contoh (mithali) yang di tunjukkan oleh Baginda tidak dapat kita terima, atau gagal kita ikuti, itu bukan bermakna kita perlu mencari alternatif lain dalam mencari kebahagiaan hidup. Tapi apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan "Kalamullah" dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.
dipetik dari blog:
http://alumnigayonguia.tripod.com

Wednesday, December 22, 2010

PROJEK MURAL PENUTUP TAHUN 2010

 Mural yang telah disiapkan dalam tempoh seminggu.
 Kumpulan pelajar tingkatan Pra PMR yang terlibat.


 (Duduk dari kanan) Naufal,Syaheed,Hazzim
(Berdiri dari kanan) Hazziq,Afiq,Syafiq,Luqman,Syamin
Keadaan dinding sebelum projek

Saturday, October 30, 2010

MALAM SEJAMBAK KASIH SERUMPUN BUDI 27 OKTOBER 2010

Majlis ini merupakan jamuan yang dihadiri oleh semua guru dan staf SAKTI meraikan serta memberi penghargaan kepada guru dan pelajar SMAN2 Bogor yang ada di SAKTI tempohari. Program Sejambak Kasih Serumpun Budi ini menyajikan persembahan dari kumpulan siswa-siswi SMAN2 Bogor iaitu tarian Jaipong, sejenis tarian tradisional mereka. Turut dipersembahkan koir dengan iringan keyboard secara 'live'  oleh salah seorang siswa mereka. Selesai sahaja persembahan mereka, jamuan makan malam dimulakan bersama iringan Wind Orchestra dari Simfoni SAKTI. Jamuan makan malam dengan berkonsepkan ala bufet meja bulat dan layanan pelayan-pelayan yang terdiri dari para pelajar SAKTI menjadikan jamuan makan malam ini lebih eksklusif dan elegan.


Persembahan bertenaga dari siswa-siswi SMAN2 Bogor
Bergambar dengan Ratu dan Dewi Kisti



Malam Sejambak Kasih Serumpun Budi ini juga merupakan malam deklarasi di antara SAKTI dan SMAN2 Bogor menjalinkan hubungan berteraskan ilmu, persahabatan dan persaudaraan. Majlis menandatangani deklarasi ini di hadiri wakil rasmi PPD Kota Tinggi, En.Ali Othman, Penolong Pengarah Pelajaran Daerah Kota Tinggi. Plag deklarasi ini ditandatangani oleh Ayahanda Pengetua Cemerlang Tn.Hj.Hassan Topit dan Ibu Dewi, Wakil Kepala Sekolah SMAN2 Bogor, Indonesia.

Majlis Deklarasi Ilmu Antara SAKTI dan SMAN2 Bogor


Ucapan penghargaan atas kesudian hadir Penolong PPD KT En.Ali Othman
Cenderamata SAKTI istimewa buat SMAN2 Bogor

Thursday, October 28, 2010

MALAM JALINAN MESRA IKATAN KASIH 26 OKTOBER 2010

Pada 26 Oktober 2010, SAKTI menerima kunjungan mesra dari 10 orang guru dan 20 orang pelajar dari SMAN2 Bogor, Indonesia. Malamnya kami menyajikan sebuah Majlis Sambutan Selamat Datang dengan pengisian dua buah persembahan dari kalangan pelajar tingkatan 3 dan 4. MALAM JALINAN IKATAN KASIH ini bermula sekitar jam 8.30 malam dan berakhir kira-kira jam 10.00 malam. Terima kasih atas jasa semua pelajar yang terlibat.




Thursday, September 16, 2010

Ramadhan Pergi Syawal Datang

RAMADAN sudah meninggalkan tapak semaian ibadat yang mekar di hati seorang mukmin. Jiwanya masih lagi dipengaruhi bekas amal salih, sabar dan reda menahan hawa nafsu, munajat dan sujud, tadabbur al-Quran dan sedekah, doa yang panjang, tangisan dan taubat pada akhir malam.

Semua itu amat bermakna bagi membersihkan jiwa. Maka, pada Syawal ini janganlah disurutkan langkah ke belakang dan dikotori jiwa dengan maksiat. Apatah lagi untuk memutuskan diri dengan ‘pencen ibadat’?

Jika demikian tentu sia-sia madrasah Ramadan dalam membentuk karakter jiwa yang bersih, tahan lasak melawan hawa nafsu dan kuat mujahadah. Syawal yang mulia seharusnya menggamit jiwa untuk kembali kepada fitrah.

Dunia kembali kepada wajah yang jelek dan huru-hara akibat perangai manusia bersifat seperti syaitan. Kembali bergolak dengan kejahatan dan kezaliman di mana-mana, dosa dan maksiat dianggap sesuatu yang lumrah dan semakin lembik suara mengajak kepada amar makruf nahi mungkar. Apakah ini semua berlaku kerana berakhirnya Ramadan?

Tidak, sesungguhnya Ramadan dijadikan sebagai bulan pembekal iman dan penguat semangat ketakwaan orang mukmin. Kekurangan ilmu dan ketandusan kefahaman agama menjadi sebab dan punca sesetengah umat Islam tidak mampu menterjemahkan semangat Ramadan sepanjang kehidupan mereka.

Janganlah kerana berpegang secara silap kepada hadis Rasulullah SAW yang menyatakan syaitan diikat pada Ramadan maka ada yang pandai-pandai beranggapan dosa dan maksiat yang dilakukan kini bukan atas kemahuan mereka, tetapi kerana rasukan serta hasutan syaitan selepas rantai dilepaskan.

Bukankah manusia sudah dibekalkan dengan kekuatan dan senjata untuk melawan pengaruh syaitan? Allah menolong hamba-Nya dan memberi penjagaan serta bimbingan wahyu untuk menyelamatkan manusia daripada kejahatan makhluk itu.

Mengapa menuduh syaitan menjadi punca kemerosotan iman, padahal setiap insan dibekalkan akal, hati, mata dan telinga untuk menerima hidayah Allah ? Rasul diutuskan dan agama diturunkan dengan sempurna.

Bukankah Allah memberi jaminan dan perlindungan kepada setiap hamba-Nya daripada gangguan syaitan? seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Bagi manusia ada malaikat yang selalu mengikutinya secara bergilir, di depan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah . Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Allah berfirman yang bermaksud:

“Hampir-hampir neraka itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan orang kafir, penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan? Mereka menjawab: Benar ada. Sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakannya dan kami katakan: Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar. Dan mereka berkata: Jika kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) nescaya tidaklah kami termasuk penghuni neraka yang menyala-nyala. Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah al-Mulk, ayat 8-11)

Antara amalan yang membuat syaitan berputus asa menggoda manusia ialah dengan kembali kepada Allah selepas tersilap langkah. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amat lemah bagi orang yang sentiasa dekat dengan Allah dan menyedari bahawa ada Malaikat Hafazah dan Malaikat Rakib juga Atid yang menemani serta memerhati pergerakan amalan mereka.

Sehingga melalui lisan Nabi-Nya SAW dinyatakan setiap anak Adam pasti berdosa. Mereka tidak terlepas daripada gangguan syaitan, bahkan dalam aliran darah mereka melainkan orang yang menang dan kuat melawan pengaruhnya dengan pertolongan Allah .

Hal ini dinyatakan Baginda SAW yang bermaksud: “Bahawasanya Rasulullah SAW pernah keluar dari rumah Aisyah pada waktu malam, lalu aku (Aisyah) berasa cemburu terhadapnya. Apabila Baginda kembali dan melihat apa yang aku lakukan, Baginda bersabda: Wahai Aisyah! Apakah engkau cemburukan aku? Aku menjawab: Bagaimanakah orang seperti aku ini tidak cemburu kepada orang sepertimu? Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Kenapa begitu? Apakah syaitan merasukmu? Lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah! Apakah aku mempunyai syaitan? Sabda baginda: Benar. Aku bertanya lagi: Apakah syaitan itu berada pada semua orang? Sabdanya: Benar. Aku bertanya lagi: Pada dirimu juga ada syaitan? Sabda Baginda: Benar, akan tetapi Tuhanku menolongku terhadap syaitan itu sehingga akhirnya dia menyerah kalah.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Betapa lemahnya manusia apabila Allah melepaskan genggaman-Nya ke atas hati mereka, apabila Allah memalingkan pandangan rahmat-Nya dari jiwa mereka dan apabila Allah membiarkan mereka menjaga diri sendiri tanpa kekuatannya-Nya.

Sebaik-baik jalan keluar bagi menyelamatkan diri ialah dengan menghapuskan dosa lalu dan kembali kepada Allah dalam keadaan bertaubat. Jika tersilap lagi, bangkitlah semula dan jangan berputus asa mencari jalan pulang.

Sikap optimis dalam mencari hidayah dan melazimi taubat kepada Allah adalah amalan terbaik yang membuat syaitan menangis berputus asa. Bayangkanlah, ketika syaitan sudah hampir mencapai matlamatnya untuk menyesatkan seorang insan, tiba-tiba dengan segenap kekuatan insan itu berpatah balik pulang kepada Allah . Pasti syaitan laknatullah tersungkur menghumbankan wajah mereka ke tanah menangis sambil berkata: “Oh alangkah ruginya, sedikit saja lagi aku hampir menyesatkannya!”

Amalan seterusnya yang membuat syaitan berputus asa ialah membentuk benteng hati bersama ulama dan orang salih. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang menginginkan kebahagiaan syurga, hendaklah dia melazimkan diri dalam jemaah. Sebab syaitan suka kepada orang yang bersendirian.” (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi)

Pergaulan sihat mesti dilandaskan iman dan takwa. Memilih sahabat adalah ibadat. Setiap insan mesti memastikan dirinya berada dalam lingkungan iman yang baik, amal salih berterusan dan ilmu semakin meningkat serta penghayatan mendalam dalam kehidupan seharian. Keadaan sebegini memusnahkan impian syaitan laknatullah menyesatkan manusia beriman.

Kedudukan ulama ikhlas dan orang salih yang warak kadang-kadang dipinggirkan disebabkan perbezaan pandangan serta tindakan mereka terhadap orang jahil. Setiap perbezaan dan khilaf dalam masyarakat adalah ketentuan Allah yang berlaku pada setiap zaman.

Sudah selayaknya orang yang faham dan alim berlapang dada atas perlakuan orang jahil seperti Rasulullah SAW diarah untuk merendahkan ’sayapnya’ (menurut bahasa al-Quran) di hadapan orang kurang memahami.

Demi membentuk benteng teguh menangkis serangan syaitan laknatullah, tiada jalan terbaik selain mengikuti sunnah Rasulullah SAW, bersaudara dengan orang salih dan menimba ilmu daripada pewaris Nabi.
"Baldatun toyyibatun warabbun ghafur. "
Maksudnya:"Negara yang aman, makmur dan mendapatkan keampunan Allah." (Saba`:15)

dipetik dari blog:
http://putratropika.com

SELAMAT HARI MALAYSIA

Pada 16 September 1963, nama Malaya telah digantikan dengan nama Malaysia secara rasminya. Kenali jati diri Malaysia negara kita tercinta. Syukuri nikmat kemerdekaan dengan mengenali asal kita. 1 Malaysia 1 SAKTI.